Apa yang dimaksudkan dengan solat yang sempurna?
Iaitu solat yang dilakukan dengan memenuhi segala rukun-rukun dan
sunat-sunatnya dalam keadaan tenang, khusyuk dan penuh penumpuan. ciri-ciri
solat yang sempurna ialah;
1. Orang yang melakukannya meyakini bahawa solat yang dilakukannya adalah
sebagaimana solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-.
2. Setiap pergerakan di dalamnya dilakukan dengan toma’ninah (tenang, tertib,
sopan dan tidak tergesa-gesa).
3. Lidah menyebut dengan elok dan fasih bacaan-bacaan di dalam solat
terutamanya ayat-ayat al-Quran.
4. Bacaan-bacaan di dalam solat difahami maknanya sama ada bacaan itu berupa
ayat-ayat al-Quran, zikir atau doa kerana memahami makna membawa kepada
penghayatan terhadap apa yang dibaca itu.
5. Hati dalam keadaan khusyuk dan memberi penumpuan kepada solat iaitu tidak
lalai atau alpa.
Apa
hukum mengetahui kaifiyat solat Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-? Bagaimana
caranya?
Hukumnya adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda (dalam
bentuk perintah); “Kerjakanlah solat sama sebagaimana kamu melihat aku
mengerjakan solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Malik bin al-Huwairith
–radhiyallahu ‘anhu-)
Untuk mengetahui kaifiyat solat Nabi, caranya ialah melalui riwayat-riwayat
yang soheh dari para sahabat yang menceritakan bagaimana Nabi mengerjakan solat
bermula dari niat dan takbiratul-ihram hinggalah kepada memberi salam.
Apa
persediaan yang perlu dilakukan sebelum menunaikan solat?
1. Bersih dari hadas dan najis.
2. Memakai pakaian menutup aurat
3. Memastikan telah masuk waktu jika solat yang hendak dikerjakan itu solat
fardhu atau solat sunat yang berwaktu seperti dhuha atau sebagainya.
4. Memastikan arah qiblat.
5. Persediaan batiniyah; iaitu melapangkan hati dan akal fikiran dari segala
urusan dunia dan memberi tumpuan kepada solat sahaja.
Apa
akibatnya jika solat tidak dilakukan dengan sempurna?
Menyebabkan solat tidak sah jika yang tidak disempurnakan itu adalah perkara
rukun dan hilang pahala jika yang tidak disempurnakan itu perkara sunat. Di
dalam sebuah hadis, Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Suatu hari
Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- berada di dalam masjid. Masuk seorang
lelaki, lalu mengerjakan solat. Kemudian ia datang kepada baginda dan memberi
salam. Setelah menjawab salamnya, baginda berkata kepadanya; ‘Ulangi semula
solat kamu. Sesungguhnya kamu belum mengerjakan solat’…” (Riwayat Imam
al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa solat yang
dilakukan tanpa memenuhi rukun-rukunnya sama seperti tidak melakukannya, kerana
itu disuruh oleh Nabi supaya mengulanginya semula.
No comments:
Post a Comment